TYH & Co. Affordable Divorce & Family Law Firm KL & Selangor

离婚律师 Divorce Lawyer In KL & Selangor, Malaysia Contact Our Divorce Lawyer 016-947 3338 For Free Quotation & Legal Advice

Jenis Perceraian Bagi Orang Beragama Islam Di Malaysia

JENIS PERCERAIAN BAGI ORANG BERAGAMA ISLAM DI MALAYSIA oleh Peguam Syarie Kuala Lumpur dan Selangor Malaysia TYH & Co.

Jenis Perceraian Bagi Orang Beragama Islam Di Malaysia

Perceraian adalah satu perihal bercerai atau berpisah diantara satu hubungan diantara suami dan isteri. Perceraian adalah jalan terakhir untuk sesebuah perkahwinan yang tidak dapat diselamatkan lagi jika semua usaha memulihkan perkahwinan berakhir dengan usaha yang gagal. Perceraian yang diamalkan oleh orang Malaysia ialah cerai melalui lafaz talak yang dibuat oleh suami. Hal demikian kerana talak adalah hak suami kerana hanya suami yang boleh melafazkannya. (rujuk surah al-baqarah ayat 229, surah al-talak ayat 1 dan surah an-Nisaa’ ayat 19). Namun Nabi SAW dalam sebuah hadis bersabda: “Tidak ada perkara halal yang dibenci oleh Allah selain daripada talak.” Dan: “Mana-mana wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa sebab yang sepatutnya, maka haram ke atasnya bau syurga.”. Daripada ayat al-Quran dan hadis di atas jelas bahawa perceraian adalah diharuskan namun ia adalah perkara yang paling dibenci Allah SWT. Jika seorang suami melafaz talak kepada isterinya, perbuatan itu tidak berdosa namun ia dibenci Allah.

Terdapat beberapa jenis perceraian yang menjadi pilihan pasangan berkahwin di Malaysia. Antaranya :-

  1. Perceraian secara talaq dengan persetujuan bersama & Perceraian tanpa persetujuan bersama;
  2. Cerai taklik;
  3. Cerai fasakh;
  4. Perceraian secara tebus talak (khuluk)
  5. Cerai Li’an; dan
  6. Pengesahan lafaz cerai di luar Mahkamah.

1) TALAK
Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS 2003)

Perceraian secara talak atau lebih dikenali perceraian bersama boleh dipohon melalui seksyen 47 (EUUKIS 2003) jika pihak-pihak bersetuju bersama, setelah diteliti oleh Mahkamah dan ia mendapati perkahwinan itu tidak dapat dipulihkan maka Mahkamah akan menasihatkan suami supaya melafazkan satu talak di hadapan Mahkamah.

Jika ada satu pihak yang tidak bersetuju dengan perceraian tersebut mahkamah akan meneliti jika ada kemungkinan untuk memulihkan perkahwinan tersebut dengan melantik suatu jawatankuasa pendamai (JKP) terdiri daripada seorang Pegawai Agama sebagai pengerusi dan dua orang lain, seorang untuk bertindak bagi pihak suami dan seorang lagi bagi isteri, dan merujukkan kes itu kepada jawatankuasa itu berdasarkan seksyen 47 (5) EUUKIS 2003. Dua orang lain akan diberi keutamaan oleh Mahkamah ialah ahli keluarga yang terdekat kepada suami & isteri yang mengetahui hal sebenar dalam perkahwinan mereka. (Seksyen 47 (6) EUUKIS 2003)

2) CERAI TAKLIK

Seksyen 50 EUUKIS 2003

Proses perceraian taklik adalah satu lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan/atau suami menceraikan isterinya secara bersyarat. Sah jatuh talak apabila berlaku perlanggaran syarat oleh isteri atau suami. Di Malaysia cerai taklik ini adalah suatu bentuk perceraian yang biasa diamalkan. Selepas akad nikah seseorang suami dikehendaki melafazkan ucapan taklik dan menandatangani surat taklik di hadapan juru nikah. Contoh taklik dalam sijil nikah yang biasa digunakan ialah: –

“Saya (nama suami) dengan ini bertaklik bahawa apabila saya meninggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan qamariah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan”; atau
“Jika saya atau wakil saya tidak memberikan nafkah kepada isteri saya selama empat bulan qamariah berturut-turut atau lebih sedangkan dia taat kepada saya”; atau

“Jika saya menyebabkan mudarat terhadap tubuh badannya atau kehormatannya atau harta bendanya, atau menyebabkan penganiayaan atau sebarang dharar syarie dan kemudian dia mengadu kepada Hakim Syarie dan jika sabit aduannya di sisi Hakim Syarie, dan dia memberikan kepada Hakim Syarie yang menerima RM1 bagi pihak saya, maka pada ketika itu tertalaklah dia dengan talak khulu’.”

Seandainya pihak suami melanggar taklik berkenaan, peguam syarie itu menjelaskan, pihak isteri boleh membuat tuntutan perceraian secara taklik bagi membolehkan perkahwinan itu dibubarkan oleh mahkamah.

Namun begitu, pihak isteri perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa suaminya telah melanggar taklik sijil nikah tersebut dengan pembuktian yang sewajarnya sama ada melalui dokumen-dokumen dan saksi-saksi yang perlu dikemukakan di mahkamah semasa perbicaraan.

3) FASAKH

Seksyen 53 (1) EUUKIS 2003

Salah satu perceraian yang amat popular dalam kalangan wanita yang bergelar isteri di Malaysia iaitu pembubaran perkahwinan melalui fasakh. Terdapat beberapa alasan yang boleh dikemukakan seperti yang tertera dibawah seksyen 53 (1) (a)-(l) EUUKIS 2003 untuk menamatkan sesuatu perkahwinan.

4) TEBUS TALAK

Seksyen 49 EUUKIS 2003

Perceraian tebus talak atau khuluk ialah suatu perceraian yang diminta oleh isteri daripadanya suaminya dengan memberi wang atau harta benda lain kepada suaminya.

Misalnya, seorang isteri akan menebus dirinya dengan membayar sejumlah amaun yang dipersetujui serendah-rendah RM1 yang dibayar kepada suaminya supaya dirinya dibebaskan daripada perkahwinan tersebut.

Mahkamah mempunyai budi bicara untuk meluluskan permohonan perceraian khuluk walaupun pihak suami tidak memberi persetujuan sekiranya mahkamah berpendapat bahawa suami isteri tersebut tidak dapat hidup bersama dengan damai dan selaras dengan kewajipan mereka.

Perceraian melalui tebus talak boleh dirujuk dibawah seksyen 49 EUUKIS 2003

5) CERAI LI’AN

Seksyen 51 EUUKIS 2003.

Perceraian ini berlaku apabila seorang suami menafikan anak yang dilahirkan oleh isterinya sebagai anaknya atau menuduh isterinya berzina dengan orang lain tanpa mengemukakan 4 orang saksi.
Sumpah lian ini diangkat oleh suami sebanyak 4 kali atas nama Allah S.W.T bahawa isterinya telah melakukan zina dan bersiap sedia menerima laknat Allah S.W.T jika dia berbohong.
Demikian juga dengan isteri, dia akan melakukan sumpah nukul (sumpah balik) sebanyak 4 kali bahawa dia tidak melakukan zina dan menerima laknat Allah S.W.T sekiranya sumpahan itu tidak benar.
Kesan perceraian ini ialah, pihak-pihak dalam prosiding ini tidak boleh rujuk atau kahwin semula selama-lamanya.

6) PERCERAIAN DI LUAR MAHKAMAH

Seksyen 57 EUUKIS 2003
Sekiranya pihak suami telah melafazkan cerai diluar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah maka pihak isteri hendaklah segera memfailkan pengesahan lafaz cerai melalui seksyen 57 EUUKIS 2003 untuk mengesahkan lafaz talak tersebut sah atau tidak dibawah Hukum Syarak.

Seksyen 125 EUUKIS 2003
Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talak dengan apa-apa bentuk di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah itu maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua duanya denda dan penjara itu.

Kesimpulannya, hanya mahkamah syariah di tempat suami isteri itu tinggal atau bermastautin boleh menentukan secara rasmi dan muktamad sama ada sesuatu lafaz yang diucapkan oleh suami kepada isterinya itu, sama ada dengan menggunakan perkataan jelas atau sindiran telah membawa jatuhnya sesuatu talak. Maka dengan itu, jika tuan puan mempunyai masalah yang berkaitan atau memerlukan nasihat guaman, maka bolehlah menghubungi firma kami bagi tindakan yang selanjutnya.

Dapatkan Konsultasi Secara Percuma Dan Sebut Harga Daripada Peguam Syarie Kami Sekarang

Peguam syarie kami akan menghubungi dan memberi konsultasi kepada anda dalam masa 2 jam bekerja melalui WhatsApp/SMS.

× Get Free Divorce Consultation Now