Apa Itu Talak Di Dalam Perceraian Bagi Orang Beragama Islam Di Malaysia
Apa Itu Talak Di Dalam Perceraian Bagi Orang Beragama Islam Di Malaysia
Apa itu talak di dalam perceraian bagi orang beragama Islam di Malaysia?
Talak: Melepaskan ikatan perkahwinan (pembatalan nikah) dengan lafaz, “aku ceraikan kau dengan talak satu, dua atau talak tiga.”
Al-Quran
Al-Baqarah ayat 229: Talaq (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) dipegang terus (isteri itu) dengan cara yang sepatutnya, atau dilepaskan (diceraikan) dengan cara yang baik.
RUKUN & SYARAT SAH TALAK
● Suami
– Baligh
– Berada dalam keadaan sedar ketika melafazkan talak. Talak tidak sah / dijatuhkan sekiranya suami tersebut berada dalam keadaan gila, mabuk, pengsan.
– Dibuat dengan rela hati dan tidak dipaksa. Talak tidak akan jatuh jika diugut.
● Isteri
– Isteri yang sah semasa diceraikan
– Talak akan bertambah jika suami mengucapkan talak ketika isteri dalam iddah talak
(Contoh:, Ali talak 1 Siti, Siti dalam iddah, ketika dalam iddah Ali talak lagi Siti maka akan menjadi talak kedua)
● Niat
– Suami berniat untuk talakkan isteri. Setiap amal ibadah jika tidak dimulakan dengan niat tidak sah.
● Lafaz
● Kekuasaan Suami (suami mempunyai kuasa untuk lafazkan talak)
– Suami tidak dipaksa oleh mana-mana pihak untuk talak
– Suami menggunakan kuasanya sebagai suami untuk jatuhkan talak tersebut.
Lafaz talak secara main-main tanpa ada niat juga jatuh talak selagi dia seorang yang waras, baligh, berakal dan boleh memilih. Namun adalah dinasihatkan agar masyarakat merujuk kepada Mahkamah Syariah jika berlaku lafaz talak seperti ini.
Lafaz
Terbahagi kepada dua bahagian:
1) Lafaz Sharih (jelas, terang, straight to the point)
Lafaz yang jelas maksudnya untuk memutuskan ikatan perkahwinan Contoh: Aku ceraikan kamu,
Aku talakkan kamu dengan talak 1, 2 atau 3 Aku lepaskanmu
2) Lafaz Sighah (tidak jelas, wujud keraguan, ambiguous)
Lafaz yang boleh membawa maksud untuk perceraian dan sebaliknya. Wujud keraguan pada maksud lafaz tersebut.
Contoh: Kau sekarang janda
Kau haram bagi aku
Baliklah kamu kepada ibu bapa kamu Kau dengan aku putus
Jenis-Jenis talak
1) Talaq Raj’ie (talak 1 atau 2)
Suami yang menceraikan isterinya dengan talak 1 atau 2 yang boleh dirujuk semula tanpa akad sebelum tamat tempoh iddah. Jika iddah itu tamat hendaklah dinikahi bekas isterinya semula.
2) Talak Bain Sughra (talak sebelum persetubuhan)
Ini adalah talak sebelum persetubuhan, talak ini boleh dilakukan melalui khulu atau pemfailan fasakh. Tidak boleh di rujuk balik melainkan dengan satu akad nikah yang baru.
3) Talaq Bain Kubra (Talak 3)
Talak yang ekstrim yang sudah mencapai tahap maksimum. Apabila suami telah menceraikan isteri dengan talak tiga, bekas isterinya tidak boleh dirujuk atau dinikahi semula kecuali setelah melalui semua perkara-perkara berikut:
a) Setelah habis iddah isteri itu;
b) Isteri tersebut berkahwin dengan lelaki lain;
c) Ada persetubuhan dengan suami baru;
d) Bercerai dengan suami baru;
e) Selesai iddah dengan suami baru.
Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003
Perceraian melalui talak boleh dirujuk dalam seksyen ini dari subseksyen (1) hingga (15) namun untuk tujuan pemahaman ini yang diperlukan untuk permohonan talak
(1) Seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah menyerahkan suatu permohonan untuk perceraian kepada Mahkamah dalam borang yang ditetapkan, disertai dengan suatu akuan berkanun yang mengandungi—
a) butir-butir mengenai perkahwinan itu dan nama, umur dan jantina anak-anak, jika ada, hasil dari perkahwinan itu;
b) butir-butir mengenai fakta-fakta yang memberi bidang kuasa kepada Mahkamah di bawah seksyen 45;
c) butir-butir mengenai apa-apa prosiding yang dahulu mengenai hal ehwal suami isteri antara pihak-pihak itu, termasuk tempat prosiding itu;
d) suatu pernyataan tentang sebab-sebab hendak bercerai;
e) suatu pernyataan tentang sama ada apa-apa, dan, jika ada, apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk mencapai perdamaian;
f) syarat apa-apa perjanjian berkenaan dengan nafkah dan tempat kediaman bagi isteri dan anak-anak dari perkahwinan itu, jika ada, peruntukan bagi pemeliharaan dan penjagaan anak-anak dari perkahwinan itu, jika ada, dan pembahagian apa-apa aset yang diperolehi melalui usaha bersama pihak-pihak itu, jika ada, atau, jika tiada, sesuatu persetujuan tersebut telah tercapai, cadangan pemohon mengenai hal-hal itu; dan
g) butir-butir mengenai perintah yang diminta.
Sepertimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, sesuatu perceraian hendaklah berlaku di hadapan Hakim di dalam Mahkamah dan jika berlaku lafaz talak di luar mahkamah hendaklah SEGERA dirujuk kepada mahkamah syariah untuk ditentukan sah atau tidak sesuatu lafaz tersebut.
Dapatkan Konsultasi Secara Percuma Dan Sebut Harga Daripada Peguam Syarie Kami Sekarang